Sunday, June 29, 2008

Transkripsi Debat Shahrir Samad dan Salahuddin Ayub di RTM

Highlights

RANCANGAN BICARAWARA

BERSEMUKA DENGAN MEDIA

Y.B. DATO’ SHAHRIR ABDUL SAMAD

MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN

HAL EHWAL PENGGUNA

TAJUK : PENSTRUKTURAN SEMULA SUBSIDI

1. Penstrukturan semula subsidi minyak oleh kerajaan adalah untuk memastikan pendapatan negara dapat diagihkan secara lebih adil kepada semua golongan masyarakat. Kerajaan yakin keputusan ini tidak akan membebankan rakyat tetapi untuk memberi kebaikan kepada rakyat dalam jangka panjang.

2. Sebelum kenaikan harga minyak, kerajaan telah membuat perancangan awal dan mengumumkan Dasar Jaminan Makanan bagi menunjukkan bahawa kerajaan telah bersedia untuk menghadapi kenaikan harga minyak dan harga makanan.

3. Malaysia sebuah negara pengeluar minyak dan rakyat negara ini perlu berbangga dengan kejayaan Petronas. Petronas bukan sahaja menjaga dan membangunkan aset negara tetapi juga mengurus simpanan minyak mentah dengan baik. Petronas juga sudah mula mendapat keuntungan daripada kegiatan perniagaannya bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negeri.

4. Keuntungan daripada pendapatan Petronas bukan sahaja dibelanjakan untuk subsidi minyak tetapi juga disalurkan dan diagihkan untuk pembangunan dan dalam bentuk bantuan lain seperti memantapkan sektor pendidikan, menambah pengeluaran pertanian dan makanan, memperbaiki sistem pengangkutan dan menstabilkan harga barang makanan.

5. Kejayaan Petronas menjadi sebuah syarikat minyak terkemuka di dunia kerana dorongan, bimbingan dan galakan daripada kerajaan. Pendapatan Petronas dimasukkan dalam wang yang disatukan dan diagih-agihkan untuk pelbagai perbelanjaan.

6. Tindakan melaksanakan penstrukturan semula subsidi minyak menjadikan kerajaan dianggap tidak popular. Bagaimanapun kerajaan bertanggungjawab menyelesaikan isu ini secara berperingkat.

7. Kerajaan menggalakkan rakyat hidup dalam kesederhanaan. Selain boleh mendapat bekalan makanan yang sempurna, rakyat juga perlu berjimat cermat menggunakan minyak petrol untuk kenderaan.

8. Keputusan kerajaan menstrukturkan semula subsidi minyak mengikut harga pasaran antarabangsa telah menimbulkan kejutan dan ketidakpuasan hati rakyat.

9. Isu kenaikan harga minyak perlu dibincangkan bersama dengan pelbagai pihak terdiri daripada wakil-wakil parti kerajaan dan bukan kerajaan serta NGO.

10. Kerajaan perlu bertanggungjawab dan mempunyai satu blue print atau master plan bagi menyelesaikan masalah kenaikan harga minyak tersebut.

11. Walaupun harga minyak di Malaysia rendah berbanding dengan negara jiran seperti Singapura tetapi rakyat negara ini masih memerlukan kenderaan persendirian memandangkan sistem pengangkutan awam negara tidak efisien berbanding dengan negara tersebut.

12. Walaupun harga minyak Singapura tinggi dan diapungkan mengikut harga minyak antarabangsa, tetapi sistem pengangkutan awamnya lebih efisien dan rakyat tidak perlu berkenderaan sendiri ke tempat-tempat kerja.

13. Kerajaan perlu mengkaji semula pemberian subsidi dan kenaikan harga minyak.

TRANSKRIP

RANCANGAN BICARAWARA

BERSEMUKA DENGAN MEDIA

Y.B. DATO’ SHAHRIR ABDUL SAMAD

MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN

HAL EHWAL PENGGUNA

TAJUK

PENSTRUKTURAN SEMULA SUBSIDI

PERANTARA: Assalamualaikum saudara dan salam sejahtera. Bertemu dalam rancangan Bersemuka Dengan Media. Dan pada malam ini, Bersemuka Dengan Media, kita akan adakan edisi Debat Khas. Dan kepada para penonton kita yang menonton secara langsung pada malam ini, satu sejarah telah dicatatkan juga oleh Debat Khas pada malam ini kerana kita telah menjemput seorang Menteri dan seorang ahli pembangkang untuk bersama-sama kita membincangkan penstrukturan semula subsidi minyak yang tengah hangat diperkatakan.

Bagi membincangkan tajuk ini juga, pada awalnya, kita telah menjemput wakil daripada Harakah Daily tetapi petang tadi, beliau telah memberitahu kepada penerbit kita bahawa beliau tidak dapat datang kerana sebab-sebab kesihatan. Dan alhamdulillah, kita telah digantikan dengan seorang lagi rakan daripada agendadaily.com yang berkesempatan untuk menggantikan beliau pada malam ini.

Dan bagi para penonton kita juga, kita membuka talian SMS kita. Bagi mereka yang ingin menghantar SMS pada malam ini, kita membuka topik kita, Penstrukturan Semula Subsidi Minyak. Dan untuk menghantar komen dan soalan anda, sila taipkan MEDIA NAMA, LOKASI dan KOMEN atau SOALAN anda dan hantarkan kepada 32776.

Dan bagi para penonton kita, kita pada malam ini, seperti biasa, kita ada dua tetamu daripada media dan dua tetamu yang saya maksudkan tadi ialah Y.B. Menteri, Dato’ Shahrir Abdul Samad, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Selamat datang Dato’. Dan di sebelah kanan saya, Y.B. Salahuddin Ayub, Ketua Pemuda PAS dan Ahli Parlimen Kubang Kerian. Selamat datang Yang Berhormat. Terima kasih kerana sudi menerima undangan kami.

Dan di sebelah kiri saya, rakan juga dan hari ini merupakan pengkritik bebas, saudara Sayed Munawar Sayed Mustar dan di sebelah kanan saya pula, seperti yang saya katakan tadi, iaitu rakan kita dari pihak media, Encik Hanafiah Ahmad, Pengarang agendadaily.com. Selamat datang.

Dan untuk memulakan rancangan kita, ya Dato’, Yang Berhormat, kita ikuti dulu sedutan pengumuman ataupun ulasan yang telah diberikan oleh Y.B. selepas pengumuman kenaikan harga minyak. Sama-sama kita ikuti.

(SEDUTAN PANGGILAN TELEFON Y.B. SALAHUDDIN AYUB, KETUA PEMUDA PAS) : ...... yang memeranjatkan ini. Dan saya merasakan bahawa keprihatinan Kerajaan kepada rakyat pada tahap yang paling rendah. Dan seharusnya Kerajaan memikirkan dahulu tentang kenaikan semua barang-barang keperluan di pasaran hari ini terutama beras, makanan-makanan asas yang menjadi keperluan rakyat. Kemudian, permintaan rakyat, khususnya kaum pekerja terhadap gaji minimum belum dapat ditunaikan oleh pihak Kerajaan. Dan sekarang kita terpaksa menanggung satu lagi beban yang sangat besar.

PERANTARA: Ya saudara penonton, demikian tadi ulasan yang telah dibuat, komen yang telah diminta oleh pihak berita RTM terhadap Y.B. Salahuddin Ayub iaitu Ketua Dewan Pemuda PAS. Bagaimana Y.B., apa sebenarnya yang Y.B. ingin sampaikan, kalau kita dengar tadi, memang kenyataan Y.B. itu menunjukkan bahawa ini antara yang paling rendah sekali keputusan yang dibuat. Apa pandangan Y.B.?

PAS: Ya saudara, tentu sekali saya ingin mewakili 26 juta rakyat dalam negara kita tentang keputusan mengejut pihak Kerajaan untuk menaikkan harga minyak hampir 41 peratus. Dan isunya bagi saya, bagaimanakah Kerajaan melayani rakyat? Rakyat ini seperti pendatang asing yang tidak berhak untuk menikmati subsidi yang sepatutnya mereka terima pada hari ini.

Dan saya perlu mengambil pengalaman sewaktu Kerajaan menaikkan harga minyak pada 2006, bulan Februari sebanyak 30 sen. Waktu itu, Kerajaan berjanji mengambil RM4 bilion daripada subsidi itu untuk meningkatkan sistem pengangkutan awam di negara kita. Jadi, adakah itu berlaku pada hari ini? Ini persoalannya. Adakah pada hari ini rakyat menikmati satu sistem pengangkutan awam kelas pertama? Bila Kerajaan menaikkan minyak 41 peratus minggu lepas, seorang rakyat yang menaiki bas ekspres daripada Johor Bahru ke Kuala Lumpur membayar RM60 untuk satu hala. Dari Kuala Lumpur ke Alor Star, ada yang membayar sehingga RM65 untuk satu laluan. Jadi di manakah sistem pengangkutan awam yang dijanjikan? Adakah sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur ini, di Lembah Klang ini bertambah baik untuk dinikmati oleh rakyat? Dan rakyat bertanya pada hari ini, ke manakah wang RM4 bilion itu dibelanjakan?

Di sinilah lahirnya isu yang saya rasakan paling penting adalah tentang kredibiliti Kerajaan, integriti Kerajaan untuk memenuhi janji yang diberikan iaitu pengambilan RM4 bilion ini untuk menaik taraf sistem pengangkutan awam dalam negara kita. Y.B. Menteri selalu membandingkan kita dengan Singapura. Menyamakan negeri lain, negara lain pun menaikkan harga minyak. Saya rasa dalam aspek ini, kita tidak perlulah membandingkan hujah bahawa ‘anak orang lain mati, anak kita juga perlu mati’. Di Singapura, walaupun harga minyaknya tinggi, diapungkan mengikut pasaran minyak antarabangsa, minyak dunia, cuba lihat sistem pengangkutan mereka. Cuba lihat betapa efisiennya, rakyat Singapura tidak perlu berkereta untuk mereka pergi ke tempat-tempat pekerjaan mereka. Dan ini adalah satu yang seharusnya kita contohi.

Di Hong Kong dan juga di negara-negara maju yang dikatakan harga minyak mereka diapungkan. Rakyat ada alternatif. Tapi hari ini apabila Kerajaan menaikkan harga minyak ini dan membebankan rakyat sehingga 41 peratus, di saat harga beras di pasaran, dan dulunya rakyat makan beras hancur 10 peratus ataupun sehingga 15 peratus, sebagai contoh dengan harga RM18 untuk 10 kilo, hari ini mereka terpaksa membayar sehingga RM32. Ini satu beban berganda yang terpaksa dihadapi oleh rakyat di negara kita akibat daripada kenaikan harga minyak ini.

Oleh itu, bagi saya Kerajaan patut lebih bertanggungjawab. Kerajaan mesti lebih bertanggungjawab, lebih credible untuk mengatasi masalah ini. Kerajaan mesti ada satu master plan. Kerajaan mesti ada satu blue print dan bukannya kita menyelesaikan masalah kenaikan harga minyak di pasaran sebagai satu hujah dan kita mengambil pendekatan ad-hoc untuk mengatasi masalah ini dan kita lemparkan beban itu kepada rakyat dan rakyat menjadi mangsa kepada keadaan yang seperti itu. Saya rasa itu senario pertama yang ingin saya lontarkan pada malam ini.

PERANTARA: Dato’, boleh jawab Dato’.

Y.B. MENTERI: Saya biasa mendengar hujah yang disampaikan kerana saya rasa pertamanya, apa yang dikatakan bahawa kenaikan ini memeranjatkan, sebenarnya sepatutnya kita lagi patut memeranjatkan, terperanjat oleh kenaikan harga minyak di pasaran dunia umpamanya, pada hari Rabu yang ketika mana pengumuman keputusan untuk menaikkan harga minyak. Lima hari kemudian, ketika hari Rabu, harga di pasaran dunia adalah sebanyak RM3. Lima hari kemudian, ia melonjak kepada RM3.45 dan pada hari ini, setelah minyak mentah di dunia meningkat kepada, mencecah ke paras USD140, saya jangka pada hari esok, harga minyak dah sampai lebih daripada RM3.60.

Oleh itu, kita menyedari kita berada dalam satu keadaan luar biasa seperti mana Y.B. Saudara Salahuddin nyatakan bahawa kalau dalam bulan Februari 2006, kenaikannya sebanyak 30 sen, dan sepatutnya Kerajaan berjimat dengan penarikan balik subsidi 30 sen bagi satu liter itu, ia membawa kepada penjimatan sebanyak RM4 bilion. Tetapi kerana juga harga minyak itu melonjak, menaik dan terus naik, akhirnya penjimatan yang dicapai hanya RM900 juta. Jadi tidak dapat, sempat atau mampu membuat sesuatu dalam keadaan ini.

Saya rasa kita berhadapan dengan satu suasana, ianya luar biasa. Tapi sebelum daripada harga minyak dinaikkan dan sebagainya, Kerajaan sudah mengumumkan Dasar Jaminan Makanan umpamanya iaitu menunjukkan bahawa persediaan kita terhadap satu senario yang memang unik dan luar biasa iaitu bukan sahaja harga minyak itu naik mendadak, tapi juga harga makan, barang makan mengikuti dari belakang. Kerana ada sebab-sebab yang tertentu dan tentulah kita boleh membahaskan tentang ini tetapi faktanya jelas, bukan sahaja harga minyak telah naik mendadak tetapi barang makan mengikuti dan Kerajaan yang dikatakan tidak prihatin telah mengisytiharkan tentang soal Dasar Jaminan Makanan sehingga dalam keadaan luar biasa ini, kalau bagi di Kelantan lah umpamanya, biasanya makan beras siam dan beras siam diseludupi masuk ke Malaysia, ke Kelantan, tapi hari ini, beras Malaysia diseludupi ke Thailand kerana harga beras kita memang dikawal dan dijaga oleh Kerajaan, semata-mata kerana kita sudah ada dasar jaminan makanan itu diletakkan, dirancang lebih awal daripada apa yang berlaku hari ini.

Jadi bermakna bahawa ia menegaskan kepada satu soal; dalam keadaan hidup kita di sini, mana sebenarnya yang lebih penting? Dengan kemampuan kita yang terhad, walaupun kita sebuah negara pengeluar minyak dan kita boleh berbangga dengan kejayaan PETRONAS tetapi kita berada dalam satu keadaan di mana, bagaimana kaya kita pun, kita berhadapan dengan soalan, bagaimana kita harus menggunakan kebolehan, keupayaan kita itu, sama ada antara minyak ataupun untuk makanan.

Kalau tak dinaikkan harga minyak, hari ini mungkin bebanan tanggungan subsidi oleh Kerajaan, ditarik balik subsidi minyak itu, bebanan kita mungkin RM30 bilion hari ini dengan kenaikan harganya yang mendadak lagi. Dan dengan 30 bilion itu, kita harus memikirkan, sama ada kita nak membelanjakan RM30 bilion itu semata-mata untuk kerana kita nak naik kereta ataupun kenderaan kita ataupun sebahagian daripadanya harus diberikan untuk makanan.

Apa pun keinginan kita, kita terhad dengan kemampuan. Keinginan kita mungkin nak kan semuanya sempurna, insyaAllah jika kita, saya rasa tenang dan boleh menerima kesederhanaan dalam hidup kita, insyaAllah kita tak terlalu banyak gunakan minyak, kita juga dapat makanan, bekalan makanan yang sempurna. Ini, saya rasa asasnya bahawa kalau kita nak merancang melihat ke depan, apa yang kita nak bagi negara kita ini? Bukankah patutnya kita menggalakkan kepada kesederhanaan bagi konsep hidup kita dan juga cara hidup kita dalam negara kita ini? Ataupun kita nak kan kereta, nak kan minyak yang murah dan kita abaikan makanan yang menjadi asas, juga asas kepada hidup.

PERANTARA: Ada soalan lagi Y.B.?

PAS: Melanjutkan lagi perbincangan ini... Sebagaimana Y.B. Dato’ Shahrir sebut tadi, sama ada kita nak berkereta dengan lebih selesa ataupun kita ambil sebahagiannya untuk kita membangunkan negara kita, saya rasa sebagai sebuah Kerajaan yang prudent dan kompeten, saya mencita-citakan sebuah Kerajaan yang boleh achieve kedua-duanya. We can achieve both dengan kita menampilkan gaya Kerajaan yang penuh integriti dan kredibiliti. Saya suka untuk kembali kepada apa yang pernah disebut oleh Allahyarham Tun Abdul Razak sewaktu PETRONAS ditubuhkan. Tun Razak mengatakan dengan tegas bahawa PETRONAS itu mestilah berperanan sebagai The Guardian of the Wealth of the Nation; penjaga kepada kekayaan negara. Itu falsafah asal penubuhan PETRONAS yang diimpikan oleh Tun Razak sebagaimana dia impikan kejayaan DEB.

Oleh itu, persoalannya di sini, adakah minyak ini yang menjadi harta negara ini, milik siapa sebenarnya? Ini isunya. Kalau kita asyik mempersalahkan rakyat setiap kali setiap dolar setiap per barrel itu naik di pasaran, saya rasa itu bukan satu jawapan yang kompeten, yang convince, yang saya nak dan rakyat yang 26 juta di luar sana mahu dengar.

Kalau mengikut yang sempat saya menelaah, Tun Dr Mahathir Mohamed, bekas PM Malaysia, dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Bekas TPM Malaysia, bekas Menteri Kewangan dan Tun Mahathir juga merupakan bekas Menteri Kewangan dan kemudian YM Tengku Razaleigh Hamzah, bekas Menteri Kewangan dan saya merujuk di sini, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang mengatakan dalam report Bank Negara, “High oil price won’t effect Malaysia,” says Bank Negara. Dan di sini, Dr Zeti mengatakan bahawa setiap satu dolar per barrel yang naik, maknanya, Kerajaan akan mendapat keuntungan RM100,000 hingga RM200,000 juta satu tahun. Ini fakta yang dikemukakan oleh Bank Negara.

Kemudian Menteri Kewangan Ke II kali ini, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop sewaktu beliau berdiri dalam Parlimen menghujahkan perbahasan titah Diraja mengatakan pada waktu itu harga minyak dunia pada paras USD130, pada waktu itu beliau mengatakan, jangan bimbang, rakyat Malaysia tidak perlu bimbang kerana ini merupakan limpahan kekayaan negara yang tidak menjejaskan apa-apa. Kemudian, kita juga melihat satu report yang dikemukakan dan dikeluarkan oleh, kalau tidak silap saya, Bloomberg, majalah ekonomi yang terkenal, beliau meramalkan bahawa setiap satu dolar yang naik, setiap tong di pasaran antarabangsa, Malaysia boleh untung sehingga RM250 juta satu tahun. Jadi ini berdasarkan kepada fakta ini, jadi berdasarkan kepada apa yang saya katakan tadi, bahawa kita mesti kembali kepada falsafah itu. Jangan jadikan kenaikan harga minyak di pasaran dunia itu, kita tidak boleh menguruskannya dengan baik, kabinet hanya bincang empat jam sahaja menyelesaikan masalah kenaikan itu dan rakyat dilemparkan dengan kenaikan minyak 41 peratus.

Y.B. MENTERI: Kita pergi dari belakang, pertamanya kalau dikatakan empat jam, ini adalah sindiran yang tidak adil. Sebelum dari itu, ada mesyuarat jawatankuasa selama empat jam, bermakna banyak masa digunakan dan saya sudah pasti ia telah melibatkan tenaga dan waktu dari segi mengira perkara ini. Saya hendak balik kepada soal yang saya nak sampuk tadi, pasal bila dikatakan dengan kenaikan USD1 umpamanya, dikatakan perkataan yang digunakan ialah untung. Saya rasa bukan untung, saya rasa ianya pendapatan, revenue. Ini masalah yang saya lihat, masa saya baca saya harapkan saudara Lufti datang ke sini kerana saya telah melihat kepada website Harakah Daily umpamanya. Dan di situ juga di temu duga dari sorang pemimpin Pas yang agak tinggi juga perkataan pendapatan dan keuntungan itu di tukar ganti seolah-olah maksudnya sama. Tapi maksudnya tidak sama, iaitu kalau pendapatan ialah pendapatan kalau untung itu setelah menolak kos, barulah kita betul-betul faham ini maksudnya.

Yang ketiga adalah soal PETRONAS sebagai guardian of the wealth of nation. Saya bersetuju bahawa ini konsep yang Tun Razak meletakkan kepada PETRONAS. Dan saya rasa kita harus bangga dengan apa yang telah tercapai oleh PETRONAS. Malahan bukan sahaja PETRONAS menjaga dan membangun aset negara iaitu minyak mentah dengan simpanan yang ada dengan begitu terurus. Tetapi di samping itu juga, hari ini kita lihat PETRONAS sudah mula mendapat keuntungan daripada kegiatan businessnya di luar negara.

Dan kalau kita lihat daripada laporan PETRONAS, kita dapati bahawa 30 peratus PETRONAS yang berpunca dari dalam negara yang berasaskan kepada aset negara, termasuk dikeluarkan juga eksport sebagai satu kegiatan daripada PETRONAS. Ini bermakna, bukan sahaja PETRONAS menjaga kepentingan negara dan kalau PETRONAS itu berjaya, bukankah ini menunjukkan bahawa bimbingan dan dorongan dari kerajaan terhadap PETRONAS, yang membuatkan PETRONAS itu berjaya. Tak kan lah kerajaan yang tidak prihatin, yang tidak ada hati perut boleh mendorong dan menasihatkan PETRONAS atau membawa PETRONAS atau semata-mata membawa PETRONAS berjaya sendirinya tanpa bimbingan, tanpa galakan dari kerajaan sehingga ia menjadi sebuah syarikat minyak yang terkemuka di dunia.

PERANTARA: Dato’, soalan Yang Berhormat tadi masih belum terjawab mungkin dari segi berapa keuntungan PETRONAS dan mungkin juga Dato’ menjawab tentang kos.

Y.B. MENTERI: Pasal disebutkan tentang kenyataan bahawa dengan RM1 dengan USD1, kenaikan dari segi harga minyak satu barrel disebutkan menjadi RM250 juta keuntungan. Saya kata ini bukan keuntungan, ini pendapatan. Bahawa kalau kita nak tahu tentang keuntungan kena tahu tentang kos, barulah kita tahu sebenarnya tentang keuntungan.

BEBAS: Agak terlewat sedikit untuk memberi ruang kepada Dato’ menghadamkan apa yang Dato’ sebut. Y.B. juga tadi ada menyebut mengenai keprihatinan dan Dato’ pula menyebut mengenai memberikan keutamaan kepada masa depan. Dan walaupun kritik yang diberikan mengatakan bahawa kami hendak mengambil masa empat jam atau lebih. Tapi saya kira yang ingin juga rakyat lihat mungkin jua mereka yang cuba memahami perdebatan ini adalah beyond politics. Dalam erti kata kalau kami ambil masa empat jam, hakikatnya pihak oposisi juga mempunyai hari yang lebih untuk mencadangkan satu bentuk dasar atau polisi jangka panjang yang lebih ampuh yang boleh dilaksanakan. Jadi sampai ke peringkat ini, saya tidak mahu melihat perdebatan ini berkisar too capitalist on the popular aspect of the issues sedangkan kita bercakap mengenai masa depan negara. Mungkin boleh saya dengar di peringkat ini Y.B. memberi cadangan bentuk dasar-dasar lain, sebab selain dari penjimatan ataupun pengurangan subsidi apakah tidak boleh ada after sales subsidies misalnya, bentuk-bentuk polisi-polisi yang diyakini dan yang boleh meyakinkan rakyat.

AGENDA DAILY: Kalau boleh saya nak tambah, apabila perkara ini dibangkitkan kerana kita dilihat di satu pihak kerajaan bercakap mengenai penstrukturan semula ini untuk mengurangkan beban dan tanggungan kerajaan. Tetapi pada masa yang sama Y.B. Salahudin ada menyebut, mengenai prudent dan ketelusan dari segi integriti. Cumanya yang saya hendakkan pandangan sedikit sebagai tambahan daripada saudara Syed Munawar tadi, apakah kerajaan dalam membuat keputusan 78 sen yang menaikkan 41 peratus itu merupakan satu keputusan yang immediate. Sedangkan kenaikan sepatutnya, dilihat dari 2006 dan 2007 dah ada kenaikan-kenaikan. Jadi kenapa persoalan yang saya kira masih banyak perkatakan why now? Kenapa sekarang? Saya nak dapatkan pandangan daripada bentuk pendebatan ini yang saya kira, saya nak bertanyakan kepada Yang Berhormat.

Dari segi cadangan saya kira dalam apa jua tindakan, cadangan dalam jangka diberikan bagi meringankan beban kerajaan. Adakah subsidi perlu diteruskan. Kita meneruskan amalan pemberian subsidi atau ada kaedah lain Y.B. rasa boleh dikemukakan.

PAS: Yang pertama saya rasakan bahawa sebagai seorang Ahli Parlimen, saya masuk penggal kedua. Saya rasa kita punya rasa tanggungjawab bersama dalam for the sake of the nation of interest of the people, kita boleh berkongsi idea kita dan kita boleh berkongsi kemampuan yang ada sesama kita untuk kebaikan negara. Ini selalu yang saya sebut supaya kita mesti bersifat terbuka dalam perkara-perkara seperti ini. Kenapa tidak, di samping kabinet bermesyuarat empat jam untuk menentukan kenaikan harga ini. Saya rasa Yang Berhormat Mulia Tengku Razali Hamzah dalam ucapan dalam Parlimen tahun 2006 pernah mencadangkan pada waktu itu harga minyak mentah dunia adalah pada paras 80 dolar satu tong.

Y.B. MENTERI: Belum lagi. 2006 belum lagi. Kalau nak harga 80 dolar satu tong kena tunggu 2007.

PAS: Lebih kurang begitulah.

Y.B. MENTERI: Janganlah lebih kurang. Ini soal duit ni.

PAS: Maknanya Yang Berhormat Mulia Tengku Razali pada waktu itu mencadangkan apakah persediaan kerajaan, kita kongsi pada waktu itu, kita foresee dan kita anticipate bahawa harga minyak mentah pada ketika itu adalah mengikut laporan International Journal, Business Journal yang mengatakan akan mencapai 100 dolar pada waktu itu. Apakah persediaan kerajaan. Itu pengalaman lepas yang kita boleh pelajari bersama, sekarang ini kenapa tidak kerajaan memanggil semua parti termasuk NGO untuk kita duduk bersama berbincang secara serius bagaimana kita akan mengatasi masalah kenaikan harga minyak. Kita boleh meramalkan mungkin dalam masa dua tiga bulan lagi harga minyak dunia boleh sampai pada tahap 200 dolar satu tong. Jadi apakah mekanisme yang perlu kita capai. Jadi saya rasa sama ada kita dari PAS, daripada UMNO, Keadilan, DAP dan semua NGOs kita menghimpunkan kepakaran-kepakaran ini untuk membina satu master plan, satu blueprint. Apakah mekanismenya banyak mana subsidi yang boleh kita bincang yang rakyat akan selesa dan rakyat tidak marah dengan kenaikan harga minyak. Bagaimana rupa bentuk sistem pengangkutan awam yang mesti kita bina di bandar-bandar besar supaya rakyat tidak akan terbeban dengan sistem pengangkutan kita masih third world lagi.

Yang ketiga ialah yang paling penting kita perlu berbincang secara terbuka dalam konteks ini saya mengharapkan bicara dengan kita untuk kebaikan rakyat dan negara supaya melalui persidangan Parlimen tahun hadapan, akaun PETRONAS itu dimasukkan dalam Laporan Audit Negara, dan boleh dibahaskan oleh kami semua di dalam Parlimen kerana sebelum ini akaun tahunan PETRONAS tidak di audit oleh Ketua Audit Negara. Jadi kita dan rakyat mahu tahu kenaikan minyak yang berlaku dalam negara ini pada hari ini berapa banyak yang sebenarnya, berapa reserve kita, replacement ratio. Ini semua rakyat hendak tahu. Berapa keuntungan yang sebenarnya? Ke mana duit itu dibelanjakan. Jadi ini semua rakyat hendak dengar. Jadi saya rasa bila kita boleh berbincang dan duduk bersama mungkin enam bulan untuk golongan profesional dan teknokrat duduk bersama biar, beyond politics untuk kita membina master plan, membina satu blueprint supaya apa jua kemungkinan berlaku harga minyak di pasaran dunia kita telah ada pelan jangka pendek kita. Pelan jangka panjang kita. Bukan setiap kali mengejut kita menghadapi harga minyak ini, Dato’ Shahrir katakan tadi agak luar biasa. Kita mahu rakyat hidup dalam suasana yang biasa, biasa bermakna menikmati PETRONAS itu, wang negara itu dapat setiap sen disalurkan untuk kebaikan rakyat dalam negara kita. Itu saya rasa pandangan saya atas soalan apa peranan pembangkang dan kita bersedia ke arah itu pada bila-bila masa.

AGENDA DAILY: Macam ni Datuk, sebelum Datuk menjawab apabila dibangkitkan oleh Y.B. Salahuddin mengenai perkara pendapatan PETRONAS itu, macam mana saya kira tanggapan yang ditanya kepada sesiapa sahaja PETRONAS hasil keuntungannya mestilah berkaitan dengan subsidi Negara. Tetapi sebenarnya hasil dari dividen, royalti, tax yang dikenakan kepada PETRONAS ini sebenarnya ke mana wang itu digunakan oleh Kerajaan? Adakah 100% untuk subsidi ataupun ada digunakan untuk bidang-bidang lain. Ini saya rasa perlu dijelaskan. Kalau selagi tidak dijelaskan selagi itulah saya sendiri pun beranggapan pendapatan PETRONAS seharusnya membiayai perkara yang berkaitan dengan petrol dan diesel?

Y.B. MENTERI: Pertamanya saya memang tertarik dengan apa yang disebutkan oleh Y.B. Salahuddin, pasal saya mengharapkan ada satu pandangan atau prinsip yang jelas dari segi soal subsidi dan soal pengagihannya dan sebagainya. Tetapi akhirnya ialah soal kami bawa berunding bersama. Pokoknya soal tentang pendapatan-pendapatan PETRONAS bukan ditutup atau di selindung. Sebenarnya, saya sendiri agak terperanjat menerima e-mel daripada seorang yang saya tidak berapa kenal, yang telah menghuraikan analisa kepada akaun PETRONAS tetapi semata-mata akaun itu diletakkan dalam Parlimen dan diaudit oleh Ketua Audit Negara dan tidak bermakna bahawa sesuatu akaun yang tidak di audit Ketua Audit Negara tidak telus kerana ia perlu mengikut urus tadbir syarikat yang diletakkan di semua syarikat. Oleh sebab itu apabila kita melihat kepada pendapatan PETRONAS, pembayaran baliknya kepada Kerajaan yang masuk kepada Consolidated Account atau wang yang disatukan di peringkat Kerajaan merupakan juga pendapatan kerajaan.

Kalau dilihat kepada apa yang telah dikembalikan kepada kerajaan sama ada pada tahun 2006 dan tahun 2007 tidak semuanya digunakan semata-sama untuk subsidi-subsidi minyak. Ia juga digunakan untuk pembangunan, untuk tujuan-tujuan perbelanjaan yang lain kerana subsidi yang diberikan oleh kerajaan bukan terhad hanya kepada minyak kerana hidup kita ini bukan hanya kerana minyak harus juga kita melabur di dalam insan atau generasi yang akan datang. Sebab itu adanya juga subsidi yang diberikan kepada pendidikan dan subsidi diberikan kepada bidang kebajikan, golongan OKU dan golongan kurang bernasib baik, kurang upaya.

Sebahagiannya juga diberi kepada makanan tetapi di samping itu juga subsidi yang datangnya daripada pendapatan yang dicampurkan ini, termasuk juga pendapatan daripada PETRONAS digunakan untuk membangunkan pertanian.

Dari segi pembangunan tanaman padi umpamanya, subsidi yang diterima hampir RM1 bilion diberikan kepada golongan petani walaupun kita hanya 70% atau 60% dari segi kemampuan sara diri kita. Ini bermakna bahawa wang PETRONAS merupakan keuntungan PETRONAS itu yang bukan hanya datang daripada kegiatannya dari Negara ini sahaja tetapi datang juga daripada kegiatan-kegiatannya di luar Negara, digunakan sebagai punca pendapatan Kerajaan tetapi diagih-agihkan kepada berbagai-bagai bidang.

Yang baru ialah subsidi bagi makanan, kerana ingat tak pernah kita lakukan taklah dilakukan sebesar ini belanjanya, tetapi kerana ia juga membawa kepada masalah dan tekanan kepada makanan sebab itu sebahagian daripada apa yang digunakan sebagai subsidi bagi bahan api ataupun kenderaan ditarik balik, diagihkan kepada perbelanjaan-perbelanjaan yang lain.

Ini saya rasa satu pendekatan yang seimbang iaitu sebagai rakyat biasa umpamanya, kalau minyak itu terlalu murah, saya rasa ia akan membawa kepada satu keadaan bahawa kita akan menghabiskan reserve kita.

Soal reserve ini merupakan satu perkara yang mudah kita terima, melihat daripada laporan-laporan yang terdapat melalui Internet umpamanya. Saya boleh mencari reserve setiap Negara tak payah kita mempunyai Ketua Audit Negara umpamanya bagi melihat reserve bagi negara-negara yang lain. Ini merupakan maklumat yang terbuka yang terdedah kepada semua, yang boleh diambil oleh semua tetapi dalam keadaan itu kita tidak boleh merasakan kita ini sebuah Negara yang kaya . Kalau kita lihat kepada senarai negara-negara pengeluar minyak yang ke 20 daripada nombor 1 ke nombor 20 dalam dunia ini, kita bukan di antara the top 20 dari sebagai pengeluar minyak.

Kita sebuah Negara yang hanya mengeluarkan 600 lebih ribu tong sehari berbanding dengan negara-negara yang lain. Ini bermakna kita harus sedar bahawa kekayaan kita, aset kita harus juga difikirkan untuk kegunaan masa depan. Sebab itu sepertimana saudara Hanafiah nyatakan tadi tentang mengapa 78 sen mengapa sekarang ya. Perbincangan yang ada dalam Jemaah Menteri, saya daripada dulu menyatakan awal, bukan sahaja dalam Jemaah Menteri tetapi semasa di luar Jemaah Menteri kita harus menaikkan harganya kepada harga pasaran RM3. Kita harus mencari jalan untuk mencapai kembali subsidi itu balik semula kepada rakyat dengan cara sistem subsidi yang lain, kerana ini cara yang boleh bagi subsidi yang kita buat ini ialah kita menyampaikan balik juga subsidi ini kepada rakyat.

Dengan cara pemberian buat masa ini sistemnya hanya ialah dengan semasa kita memperbaharui cukai jalan kereta atau motosikal tetapi ada juga pendapat-pendapat yang menyatakan mungkin 50 sen mengapa hanya dan sebab itu akan menimbulkan satu keadaan di mana kalau hanya naik 50 sen sama juga keadaan dalam tahun 2006 apabila harga itu naik balik semula. Naik secara mendadak yang penjimatan yang kita rancang itu tidak berjalan takkan dapat kita kekalkan. Dan sebab itu berlaku dalam tahun 2006 sebab itu harus kita naik kepada lebih daripada 50 naik kepada 78 sen satu liter dan itu pun dengan kenaikan harga hari ini kalau mencecah pada harga paras USD180 seperti yang diramalkan pada hujung tahun ini. Bahayanya kepada penjimatan itu sebenarnya tidak ada dan beban kita untuk menanggung, menggunakan duit bukan untuk tujuan yang lain tetapi semata-mata untuk membayar kepada syarikat-syarikat minyak bagi bekalan minyak itu. Jadi bermakna duit itu terpaksa mengalir kepada penggunaan-penggunaan yang sepatutnya seperti pembangunan, pendidikan, seperti kemiskinan, pertanian dan sebagainya.

AGENDA DAILY: Dari segi Y.B. sendiri Y.B., setelah mendengar penjelasan yang diberi oleh Y.B. Menteri tadi, bagaimana pada pandangan Y.B. keuntungan yang diperoleh oleh PETRONAS itu harus digunakan dalam keadaan harga pasaran minyak dunia yang makin meningkat, jadi bagaimana keuntungan PETRONAS itu harus digunakan?

PAS: Okey kita sebagai sebuah Kerajaan ya, seperti disebut tadi sebuah Kerajaan yang saya impikan, sebuah kerajaan yang completed yang prudent kita mesti memperbaiki polisi fiskal kita, fiskal polisi kita kemudian policy moneytary kita. Kita boleh menentukan itu hak, progresif sebuah kerajaan untuk menentukan banyak subsidi yang hendak diagihkan kepada rakyat. Banyak mana cukai yang kita agihkan, yang akan kita dapat kembali daripada syarikat-syarikat dan seumpamanya. Dari segi policy moneytary kita, jadi ini adalah keazaman kerajaan untuk menentukan semua itu. Berdasarkan kepada report Y.B. Tan Sri Hassan Marican sendiri dalam press conference Malaysian Petroleum Management For The Financial Year Ended 31 Mac 2007. Profit after tax kita adalah RM46.4 bilion bagi tahun 2007. Kemudian kalau berbanding 2006 kita ada RM41.1 bilion dan kita ada RM35.6 bilion. Kemudian bukan itu sahaja, kita ditakutkan dengan minyak kita akan habis tahun 2014 itu yang conservative. Unjuran mungkin tahun 2010, itu pun kurang tepat berdasarkan kepada perkembangan teknologi yang ada pada hari ini, saya merasakan sebagai contoh yang PETRONAS sendiri memberikan angka ini reserve replacement show kita RRIM kita ada 1/4 times in Malaysia, lagi ada 3.2 times internationally itu tahun 2007. 2006 kita punya replacement show kita ada 1.8 times in Malaysia dan kita ada 1.1 times internationally.

Kalau kita tidak berhenti cari gali, maknanya kalau berhenti hari ini baik ambil conservativenya. Katakan yang dikhabarkan kepada rakyat ialah tahun 2014 unjurannya 2020. Kalau berhenti hari ini. Tetapi saya merasakan syarikat-syarikat besar dunia seperti SHELL dan CALTEX seumpamanya, mereka ada sistem, ada cara mereka mencari lapangan-lapangan baru ini. Mereka ada apa yang dikatakan possible area dan ini terus berjalan secara progressive dan PETRONAS saya kira percaya akan mendapat terus kawasan-kawasan yang baru ini.

Oleh itu langkah ataupun kita punya procedure circle kita, kita boleh menentukan tetapi yang penting bagi saya mesti ada master plan, bagaimana kita hendak belanjakan wang negara ini. Kita mengambil contoh 2006, kita ambil RM4 bilion, kita kata kita nak upgrade kita punya sistem pengangkutan awam, Ini pula kata Y.B. Datuk Menteri, kita nak pergi kepada Food Security. Jadi kita banyak nak menghabiskan kepada Food Security. Bagi saya yang pentingnya adalah ketelusan, amanah, good governance dan saya terbuka dalam perkara ini. Di samping saya pada hari ini tampil disebut sebagai pembangkang. Kami ada 4 negeri, 5 negeri pada hari ini di atas nama Pakatan Rakyat dan saya setuju kita telah membentuk, urus tadbir negara yang baik saya sangat-sangat mengimpikan sebuah negara yang berkebajikan, yang good governance, yang telus dan kalau rakyat melihat pimpinan menteri-menteri besar, ketua-ketua menteri melakukan salah guna kuasa ada unsur-unsur rasuah, kritik mereka, tegur mereka. Kalau mereka tidak serik dan mereka tidak boleh absorb segala kritikan ini saya akan tolak mereka. Jadi saya merasakan bahawa kita mesti memiliki satu pemikiran yang cukup rasional, bersifat benar-benar sebagai seorang negarawan. Apa yang penting adalah negara dan rakyat. Dalam konteks ini saya ingin memperjelaskan sekali lagi bahawa polisi fiskal. Kita mesti efisien dan rakyat mendapat manfaat bukan hanya terhibur dengan Laporan Bank Negara yang menyatakan kita akan mengecap 7.1% pertumbuhan tetapi dilanda dengan tsunami dalam suku tahun ini.

PERANTARA: Kalau kita dapat perhatikan memang apa yang dikatakan oleh Y.B. Salehuddin tadi, kita lihat lima negeri sahaja yang tidak tewas tetapi ini bukan satu keputusan yang popular. Mengapa kerajaan perlu membuat keputusan ini?

Y.B. MENTERI: Kalau kita betul-betul fikirkan, ini satu keputusan yang popular. Kalau kita hendak popular dalam masa ini kita tidak akan naikkan harga minyak. Tetapi kita mempunyai pandangan yang panjang masanya, iaitu melihat lebih dari bulan September ketika mana mungkin Y.B. Salehuddin akan menjadi Menteri Kewangan pula, saya suka mendengar perkataan-perkataan yang disebutkan itu tetapi saya cuba juga mencari ikatan dan connectionnya untuk memahami apa yang dimaksudkan. Keputusan untuk menaikkan harga minyak ini dianggap sebagai Political Suicide.

Pada mereka yang melihat bahawa dalam senario politik seperti mana mungkin akan berlaku perubahan pada Kerajaan. Tetapi ia menunjukkan sebenarnya bahawa kepimpinan kerajaan hari ini begitu yakin dan mampu membuat keputusan jangka panjang, jangka sederhana kerana apa yang dilakukan bukan satu yang popular, yang popular kita teruskan dengan subsidi, jangan tarikan subsidi, hiburkan rakyat, walaupun hutang bertambah-tambah supaya siapa pun yang mengambil alih kerajaan akan melihat bagaimana hutang banyak, nanti Menteri Kewangan yang baru datang pun pengsan.

Tetapi sebenarnya kita tidak mengambil tindakan yang popular sebaliknya ini sebuah tindakan kerajaan yang bertanggungjawab. Masalah rakyat ialah tekanan harga yang meningkat akan diselesaikan dan diumumkan satu persatu untuk meringankan beban itu. Kita melihat bahawa apa yang kita ada buat masa ini dalam soal mentadbir negara secara prudent inilah tindakannya, kalau kita tidak prudent kita pinjam lagi duit dan kita belanjakan duit bukan untuk pembangunan dan masa depan, tetapi untuk hari ini iaitu subsidi yang kita guna pakai pada hari ini habis hari ini, itu subsidi kalau kita laburkan itu prudent, kalau kita kurangkan itu pun prudent. Jadi sebab itu dalam pendekatan Kerajaan yang hendak membawa negara ini kepada suatu keadaan di mana kedudukan kewangan dan pengurusan kewangannya prudent bertanggungjawab harus kita awal-awal menggerakkan, menggalakkan kepada suatu keadaan kita menghormati dan menilai aset kita, dan kita tidak memutar belit, dalam keadaan popular orang semua suka orang semua happy dan kerana itu kita tidak sedar dan esok hari tanggungannya dipikul oleh generasi yang akan datang, mungkin Y.B. selalunya lebih muda daripada saya dan bakal melihat keadaan itu kalau lah tindakan seperti ini tidak dilakukan.

AGENDA DAILY: Bila Dato’ sebut soal popular itu tadi, dua malam yang lalu saya pergi di Lembah Keramat. Satu kenyataan yang cukup diterima baik oleh masyarakat apabila Parti Keadilan memberitahu bahawa apabila hari ini kita memerintah, esok kita akan turunkan harga minyak, bagaimana kerajaan hendak berhadapan dengan perkara ini kerana di pihak kerajaan kata tidak boleh tetapi di satu pihak memberikan jaminan secara yakin memerintah saja kami hari ini esok harga minyak akan turun.

Y.B. MENTERI: Kalau tidak percaya dia akan meletak jawatan. Maksudnya senanglah pasal itu cara bakal Perdana Menteri kepada satu kerajaan satu jaminan kata turunkan harga minyak dengan cara mengambil RM10 bilion dari PETRONAS turunkan, RM10 ribu bermakna RM1 bagi satu liter sebenarnya, bermakna kalau hari ini harganya RM345, dia telah capai RM2.45, kalau dibelanjakan RM10 ribu untuk petrol. Tetapi yang saya pelik sebenarnya ialah mengapa sikap ini pada hari ini, sedangkan kalau saya lihatkan keadaan tahun 1998 bila bergaduhnya bekas Timbalan Perdana Menteri dengan bekas Perdana Menteri pada ketika itu kerana isu yang dibawa oleh IMF di mana ketika Malaysia berhadapan dengan masalah kewangan, IMF kata ikut bawah rejim IMF tidak boleh ada subsidi, ketika itu Ketua Pakatan Rakyat yang hendakkan IMF cara IMF supaya tidak ada subsidi tetapi yang menentangnya ialah Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir yang hendak buat cara Malaysia berikan subsidi. Adakah itu yang dimaksudkan prudents oleh Y.B. Salehuddin dengan bakal Perdana Menteri kerajaan pakatannya. Satu hari bersetuju dengan cara IMF tiada subsidi, reformasi seperti Indonesia tetapi hari ini ketika kita pula menjalankan reformasi dan perubahan yang perlukan kepada negara kita berbalik pula kepada cara ala Tun Dr Mahathir.

PERANTARA: Nampaknya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mula menerima cara Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir.

BEBAS: Kalau boleh saya kutip sedikit dan menyambung mungkin saya melontarkan dalam konteks debat. Di peringkat awal Y.B. ada menyebut kita selektif dalam mendengar, saya teringat apabila kita melihat SMS yang timbul, ini bukan pertama Dato’ timbul tetapi saya tidak fikir ini bukan kali terakhir tetapi seolah-olah soalan atau penjelasan yang diberikan tidak sampai kepada masyarakat. Ini ada kaitan juga dengan apa Y.B. timbulkan peringkat awal soal sikap. Kita merujuk kepada negara yang mungkin lebih maju .

Kita menghala negara maju maka kita perlu juga membentuk sikap rakyat di negara maju, dalam hal sedemikian mungkin komitmen, saya lihat nada yang dibawa oleh Y.B. Salehuddin pada hari ini agak berbeza dengan reference yang diberikan tadi kepada tokoh-tokoh lain di dalam Pakatan Rakyat itu. Jadi komitmen dalam aspek membentuk sikap adakah elemen nasionalisme itu timbul dan tidak semata-mata popular dari sudut pendekatan politik.

PAS: Y.B. Dato’ Menteri tadi menyatakan perbezaan antara bekas Perdana Menteri dan bekas Timbalan Perdana Menteri dan kedua-duanya adalah juga bekas Menteri Kewangan Negara, tapi apa yang penting ialah kedua-duanya tidak bersetuju harga minyak dinaikkan pada hari ini. Jadi apa mazhab pun tidak bersetuju harga minyak dinaikkan pada tahap yang ada hari ini. Saya mencadangkan kita mesti lebih proaktif, kita mesti mempunyai future thinking untuk negara kita ini, di antara cadangan saya ialah PETRONAS yang mesti mengekalkan tanggungjawab sosial kepada rakyat dan muncul sebagai syarikat multinasional yang membanggakan kita.

Dalam konteks ini saya merasakan yang penting adalah PETRONAS boleh lead untuk Malaysia ini menjadi satu hub gas and oil. Kita menjemput negara-negara Saudi dan Iran sebagai contoh untuk menyimpan minyaknya dalam negara kita dan kita membina industri ini. Dan bila ini kita bangunkan kita proses dapat kita wujudkan dalam negara kita seperti contoh di Sabah dan Sarawak.

Kita menjadi hab kerana Iran merasa lebih selamat menyimpan minyaknya di negara kita, Arab Saudi begitu juga jadi akan tumbuh industri hiliran sebagai contoh yang boleh memakmurkan negara dan kita boleh mengutip cukai yang telah kita amalkan pada sektor plantation. Jadi kalau saya rasa kita ada satu komitmen untuk kita menjadikan emas hitam ini khazanah rakyat kita kembalikan kepada rakyat. Sebelum itu saya teringat satu buku yang sempat saya telaah Growth Economic oleh Loretta Napoleny yang menyatakan bahawa trend antarabangsa pada hari ini adalah ke arah menjadikan komoditi itu semata menjadi samseng. Kita mengharapkan bahawa apa juga yang berlaku pada hari ini kesamsengan itu tidak akan menimpa rakyat Malaysia. Kita mengharapkan satu kajian dijalankan terhadap sistem subsidi ini demi untuk kita mengagihkan kekayaan negara kepada rakyat. Saya rasa itu antara jalan penyelesaian yang paling baik untuk kita fikirkan bersama untuk kebaikan negara.

PERANTARA: Terima kasih diucapkan kepada tetamu kita, terima kasih kepada Y.B. Dato’ Shahrir Abdul Samad, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, terima kasih kepada Y.B. Salehuddin Ayub Ketua Pemuda Dewan PAS dan Ahli Parlimen Kubang Kerian yang banyak mencadangkan. Apa juga hasrat kita, untuk memastikan bahawa hakikatnya kita akan menghadapi masalah ini, bukan kita sahaja tetapi dunia menghadapi masalah ini, dan terima kasih kepada Syed dan juga rakan saya Hanapiah.

Saya ingin memetik kata-kata Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Tan Sri Mohd Hassan Marican, “Penjimatan penggunaan tenaga bukan lagi bertujuan menjimatkan kos tetapi lebih berkait kepada kelangsungan hidup dan menyediakan bekalan untuk generasi akan datang”. Sama-samalah kita fikirkan. Dengan ini saya bagi pihak penerbit mengucapkan Assalamualaikum dan salam sejahtera.

*****************

No comments: