Monday, March 2, 2009

DUN Perak mahu dibuat sidang tanpa perkenan Sultan tidak sah

'Sidang DUN tergempar tidak sah'

IPOH 1 Mac - Sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Selasa ini yang dicadangkan mengikut Peraturan Tetap DUN 8(1) adalah tidak sah dan tidak boleh diadakan kerana tidak mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Setiausaha Dewan Undangan Negeri Perak, Abdullah Antong Sabri berkata, dalam apa keadaan sekalipun, beliau perlu menghantar notis bertulis kepada Ahli DUN untuk tujuan tersebut berserta dengan pemasyhuran memanggil Dewan oleh Sultan Perak.

Menurutnya, tanpa pemasyhuran Sultan Perak itu, sidang DUN tidak boleh diadakan walaupun Speaker, V. Sivakumar telah mengarahkannya mengeluarkan notis segera untuk sidang tergempar tersebut.

"Dalam hal memanggil sidang Dewan, peruntukan Peraturan Tetap DUN 8(1) perlu dibaca bersama dengan Perkara XXXVI(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak yang berkehendakkan perkenan Sultan Perak untuk memanggil apa- apa sidang DUN sama ada dalam keadaan biasa atau tergempar.

"Oleh itu, pemanggilan sidang DUN tergempar seperti yang dicadangkan oleh Speaker DUN adalah tidak sah dan tidak boleh diadakan kerana tidak mendapat perkenan Sultan Perak," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Kelmarin, Sivakumar mengeluarkan notis sidang tergempar DUN Perak pada Selasa ini bagi membincangkan dua usul yang diterima pada 24 Februari lalu.

Sivakumar berkata, semua wakil rakyat diarah hadir kecuali Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir, enam anggota Exco dan tiga wakil rakyat iaitu ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi, ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Mohd. Jailu dan ADUN Jelapang, Hee Yit Fong.

Pada 18 Februari lalu, Sivakumar mengambil tindakan mengejut menggantung dan melarang Menteri Besar bersama enam Exco daripada menghadiri sidang DUN berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Abdullah lagi, Peraturan Tetap DUN 1 juga jelas menyatakan bahawa setiausaha Dewan hendaklah membacakan Pemasyhuran Sultan Perak memanggil mesyuarat.

Jelas beliau, Peraturan Tetap DUN 10(1) pula menyatakan bahawa kuasa mutlak untuk memanggil sidang DUN adalah kuasa Sultan Perak dan ia tidak boleh dipertikaikan.

Beliau berkata, ini kerana Perkara XXXVI(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak memberi kuasa yang jelas kepada Sultan Perak untuk memanggil DUN bersidang.

Katanya, perkara XXVI(1) tersebut memperuntukkan:

"Duli Yang Maha Mulia hendaklah dari semasa ke semasa memanggil bersidang DUN itu dan tidaklah boleh membiarkan tempoh enam bulan berlalu di antara perjumpaan yang akhir lepas dalam satu persidangan dengan tarikh yang ditetapkan bagi perjumpaan yang pertama dalam persidangan yang di hadapan".

Kata Abdullah, peruntukan itu adalah peruntukan Perlembagaan yang merupakan Undang-Undang Tertinggi di Perak dan jelas menunjukkan kuasa untuk memanggil DUN adalah kuasa sultan.