Monday, March 2, 2009

DUN Perak mahu dibuat sidang tanpa perkenan Sultan tidak sah

'Sidang DUN tergempar tidak sah'

IPOH 1 Mac - Sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Selasa ini yang dicadangkan mengikut Peraturan Tetap DUN 8(1) adalah tidak sah dan tidak boleh diadakan kerana tidak mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Setiausaha Dewan Undangan Negeri Perak, Abdullah Antong Sabri berkata, dalam apa keadaan sekalipun, beliau perlu menghantar notis bertulis kepada Ahli DUN untuk tujuan tersebut berserta dengan pemasyhuran memanggil Dewan oleh Sultan Perak.

Menurutnya, tanpa pemasyhuran Sultan Perak itu, sidang DUN tidak boleh diadakan walaupun Speaker, V. Sivakumar telah mengarahkannya mengeluarkan notis segera untuk sidang tergempar tersebut.

"Dalam hal memanggil sidang Dewan, peruntukan Peraturan Tetap DUN 8(1) perlu dibaca bersama dengan Perkara XXXVI(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak yang berkehendakkan perkenan Sultan Perak untuk memanggil apa- apa sidang DUN sama ada dalam keadaan biasa atau tergempar.

"Oleh itu, pemanggilan sidang DUN tergempar seperti yang dicadangkan oleh Speaker DUN adalah tidak sah dan tidak boleh diadakan kerana tidak mendapat perkenan Sultan Perak," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Kelmarin, Sivakumar mengeluarkan notis sidang tergempar DUN Perak pada Selasa ini bagi membincangkan dua usul yang diterima pada 24 Februari lalu.

Sivakumar berkata, semua wakil rakyat diarah hadir kecuali Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir, enam anggota Exco dan tiga wakil rakyat iaitu ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi, ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Mohd. Jailu dan ADUN Jelapang, Hee Yit Fong.

Pada 18 Februari lalu, Sivakumar mengambil tindakan mengejut menggantung dan melarang Menteri Besar bersama enam Exco daripada menghadiri sidang DUN berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Abdullah lagi, Peraturan Tetap DUN 1 juga jelas menyatakan bahawa setiausaha Dewan hendaklah membacakan Pemasyhuran Sultan Perak memanggil mesyuarat.

Jelas beliau, Peraturan Tetap DUN 10(1) pula menyatakan bahawa kuasa mutlak untuk memanggil sidang DUN adalah kuasa Sultan Perak dan ia tidak boleh dipertikaikan.

Beliau berkata, ini kerana Perkara XXXVI(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak memberi kuasa yang jelas kepada Sultan Perak untuk memanggil DUN bersidang.

Katanya, perkara XXVI(1) tersebut memperuntukkan:

"Duli Yang Maha Mulia hendaklah dari semasa ke semasa memanggil bersidang DUN itu dan tidaklah boleh membiarkan tempoh enam bulan berlalu di antara perjumpaan yang akhir lepas dalam satu persidangan dengan tarikh yang ditetapkan bagi perjumpaan yang pertama dalam persidangan yang di hadapan".

Kata Abdullah, peruntukan itu adalah peruntukan Perlembagaan yang merupakan Undang-Undang Tertinggi di Perak dan jelas menunjukkan kuasa untuk memanggil DUN adalah kuasa sultan.

Sunday, February 1, 2009

EXCO WANITA PAS DITUDUH BERKHALWAT-malaysiakini

Malaysiakini melaporkan:

imadie Shah Othman | Jan 30, 09 8:33pm

Exco kerajaan Selangor, Dr Halimah Ali membuat laporan polis terhadap satu laman web pro-Umno berhubung tuduhan beliau ditangkap basah di sebuah hotel sekitar Pelabuhan Klang.

Wakil rakyat PAS itu berkata, tuduhan yang dilemparkannya itu "berniat jahat, tidak masuk akal, menjatuhkan maruahnya" dan mahu mengaibkannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Klang.

"Saya adalah wakil rakyat PAS, sudah tentulah yang saya dukung ini adalah Islam.

"Dan sebagai exco pembangunan modal insan, sudah tentulah kita hendak memerangi perkara mungkar dan maksiat ini secara jama'i atau berkumpulan," tulisnya di blog drhalimahali.blogspot.com.

Menurutnya, laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang pada Selasa lalu setelah mendapat nasihat daripada peguam PAS.

Ahad lalu, seorang ahli forum MyKMU.net yang dikenali hanya sebagai Jamilisa memuatkan tuduhan itu dengan judul "Kecoh, Adun Selat Klang kena tangkap basah" pada 25 Januari.

"Tuduhan itu juga sama sekali tidak berasas sedangkan pada masa yang dinyatakan itu saya berada di Bukit Kuching, Kuala Selangor kerana diundang menghadiri Program Forum Perdana sebagai ahli panel," coret Dr Halimah lagi.

Beliau mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan sewajarnya bagi menghalang penyebaran berita palsu dan fitnah yang boleh menjatuhkan maruah seseorang.


p/s:: adakah tragedi khalwat Mat Sabu dengan Normah di Hotel Perdana satu ketika dulu akan berulang?

kita tunggu !!!!!!!!!

Sunday, January 18, 2009

Tun Mahathir : Najib tidak harus dipersalahkan kekalahan BN !

Najib tidak harus dipersalahkan bagi kekalahan BN

18/01/2009 4:36pm

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengetuai jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu tidak harus dipersalahkan bagi kekalahan BN, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata kekalahan BN dalam pilihan raya kecil itu semalam adalah kerana faktor calon.

“Sebahagian daripada sebab mereka (pengundi) tidak menyokong BN ialah kerana mereka tidak suka kepada calon,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Selamatkan Rakyat Palestin anjuran Gabungan Badan Bukan Kerajaan Malaysia di Kompleks Sukan Bangsar di sini hari ini. - Bernama


 

Saturday, January 17, 2009

Blogger PAS akui kelebihan Barisan Nasional

Blogger Roslan SMS memberi komen :

Saya menghubungi rakan-rakan dari media. Masing-masing masih memberi bacaan 50-50, samada PAS atau BN. Memang mereka akui dari sudut persiapan dan logistik BN mendahului PAS, tetapi apakah ianya boleh diterjemahkan kepada undi, belum tahu.

Adakah ia bermakna PAS tidak yakin mendapat kemenangan ?

Kita tunggu jam 10.30 malam nanti.


Thursday, December 18, 2008

Kos sebenar selenggara Perdana, arahan kekalkan Perdana sebagai kereta rasmi Kerajaan Negeri Barisan Nasional

KOS SELENGGARA PERDANA EXCO TERENGGANU HANYA RM542 SETAHUN!


“Purata kos selenggaraan bagi setiap unit Proton Perdana milik kerajaan negeri Terengganu yang dihantar ke Proton ialah RM542 setahun, berdasarkan rekod bagi 35 kereta yang diservis di pusat servis Proton yang berdaftar.

“Umumnya, biasanya perbatuan perjalanan sebuah kenderaan bagi penggunaan biasa ialah antara 20,000km hingga 30,000km setahun. Berdasarkan ini, kos purata selenggaraan bagi tempoh itu dianggarkan RM2,300 dan kos ini akan meningkat dengan penggunaan lebih kerap." katanya dalam kenyataan hari Jumaat."

Ini adalah kenyataan Pengarah Urusan Proton Holdings Bhd, Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir (gambar) petang ini.

Tidak perlulah Jelapang mengulas lanjut kenyataan Pak Tuan kita ini.

Laporan Bernama: http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=348566



PM ARAH EXCO TERENGGANU PAKAI PERDANA

Sementara itu, Perdana Menteri menjelaskan 14 Mercedes E200 Kompressor yang dibeli Kerajaan Terengganu akan digunakan sebagai kenderaan tetamu Kerajaan.

Laporan Bernama: Kabinet memutuskan Kerajaan Negeri Terengganu perlu menggunakan kereta Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi anggota Exconya manakala kereta Mercedes Benz yang sudah dibeli hanya untuk tetamu kerajaan negeri itu, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Jumaat.

"Semalam, saya dan Najib dalam perjumpaan dengan Menteri Besar Terengganu telah membincangkan perkara ini dan telahpun menyatakan bahawa adalah satu perkara yang penting yang sudahpun menjadi keputusan Jemaah Menteri iaitu pihak kerajaan Terengganu jangan menggunakan kereta Mercedes untuk Exco-Exco mereka" - PM.

Laporan penuh: http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=348574

Sunday, December 14, 2008

Pakatan Rakyat sudah menukar kereta Exco Perak tidak sampai setahun menerajui negeri !!

Camry: Kerajaan Perak tidak patriotik

KUALA KANGSAR 13 Dis. - Kerajaan Perak disifatkan tidak patriotik apabila sanggup menggunakan kereta Toyota Camry 2.4 bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Penggunaan kereta import berbanding kereta buatan tempatan juga bererti kerajaan negeri sanggup mengalirkan wang ke luar negara untuk membeli kereta-kereta berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Manong, Datuk Ramly Zahari berkata, walaupun kos membaiki serta menyelenggara Proton Perdana tinggi, pembelian kereta tersebut menyebabkan mata wang negara mengalir dalam negeri.

"Saya anggap tindakan kerajaan negeri ini sebagai tidak patriotik dan melanggar arahan Kerajaan Pusat sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Pejabat Kemajuan Daerah Kinta dan Kuala Kangsar di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Perak (JPP), Datuk Zainal Abidin Omar.

Beliau diminta mengulas tindakan Kerajaan Perak meluluskan pembelian sebanyak 16 buah kereta Toyota Camry 2.4 bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kos membaiki serta menyelenggara Proton Perdana yang begitu tinggi dan sering mengalami kerosakan.

Mengulas lanjut Ramly berkata, sepatutnya kerajaan negeri lebih mengutamakan penggunaan kereta nasional sebagai satu langkah untuk memartabatkan lagi kereta buatan tempatan.

Sementara itu di KUANTAN, Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM) juga menyifatkan kerajaan Perak sebagai 'mengkhianati' negara apabila menggunakan kereta buatan luar bagi menggantikan kereta tempatan sebagai kenderaan rasmi.

Presidennya, Mohd. Firdaus Abdullah menegaskan, tindakan kerajaan negeri itu seolah-olah memperlekehkan kereta buatan tempatan yang dianggap tidak layak menjadi kenderaan rasmi kerajaan negeri.

"Kerajaan Perak telah membelakangkan kemampuan kereta tempatan apabila memilih Toyota untuk menjalankan urusan rasmi kerajaan," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Mohd. Firdaus berkata, pemimpin kerajaan di Perak sepatutnya menjadi contoh kepada rakyat dengan menggunakan kenderaan buatan tempatan.

"Apabila pemimpin kerajaan menggunakan kenderaan buatan luar, ia juga mendorong rakyat untuk tidak menggunakan kenderaan buatan tempatan," katanya.


utusan malaysia 14/12/2008