Thursday, June 19, 2008

Faisal Tehrani dan pukulan mautnya untuk PAS di blognya !

19 June 2008

Nahi Mungkar Cara PAS

Tuan-tuan pencinta Islam sekalian. Ketahuilah salah satu prinsipnya Islam adalah amar makruf nahi mungkar. Saya mengimani hal tersebut dan tidak sedikit pun berganjak darinya.

Saya tidak pernah menafikan nahi mungkar.

TETAPI, nahi mungkar bukan lesen.

Nahi mungkar tidak bermaksud pemerintah; sebagai satu contoh menjadi Taliban lalu membelasah mereka yang tidak berjanggut atau yang kelihatan merayau sewaktu tiba waktu solat. Atau membelasah wanita yang keluar selepas Asar. Itu bukan nahi mungkar. Itu lesen untuk bermaharajalela.

PAS, kini sudah mempunyai kuasa. Untuk ahli PAS yang perasan dan berasa sedap dengan istilah government in waiting saya ingin mengingatkan PAS tidak dapat lagi melakukan nahi mungkar seperti kaedah lamanya. Bilalah PAS nak belajar.

Kalau konsert itu bakal dianjurkan di Kedah (baca: Kelantan)yang PAS punya banyak kerusi 'mungkin' kita dapat menerima.

Tetapi PAS hanya melukut tepi gantang serta sekadar di pinggiran di Selangor.

Berhenti menuduh saya, sejenak berhentilah dan merenunglah:

Kadang-kala kebaikan itu tidak layak diperintahkan bahkan haram diperintahkan. Kadang-kala kejahatan itu tidak layak dilarang, bahkan haram dilarang. Mencegah mungkar itu perlu memenuhi sekian syarat. Hendaklah si pencegah itu punya ilmu, paling tidak dalam hal yang ingin ia tegah. Hendaklah diambil kira apakah ia mendatangkan kesan atau tidak. Jika yang ingin dicegah itu tidak terkesan, maka gugur wajibnya. Adalah perlu pula melihat apakah ia ada maslahah untuk Islam atau tidak. Jika tiada dapat memberi kesan hal mencegah mungkar tersebut, maka wajib menyediakan kelompok yang terkesan terlebih dahulu.

Adalah pula jika syaratnya, yakni sudah punya ilmu dan kesan itu; jika sudah dapat dipenuhi, tetapi jika pelakunya kelak akan tetap buat lagi - maka tidak perlu lagi menegur.
Sebab itu saya malas menegur lagi seorang pembikin filem wanita. Kerana jelas dalam filemnya selepas ini pun dia akan tetap buat lagi. Begitu juga tiada guna menegur pelakon sharifah tertentu kerana memang kesannya tidak ada.

Adalah pula jika si pencegahnya ada ilmu, dan yang dicegah itu pula akan mendapat kesan, yakni pada pelaku batilnya; TETAPI mudaratnya lebih besar ke atas masyarakat maka gugur kewajipan mencegah kemungkaran tersebut. Demikian cara mencegah mungkar. Bukan ia dilakukan semberono sewenang-wenang ala wahabi Taliban.

Demikianlah cara mencegah mungkar yang ditunjukkan oleh ahlul bait. Sebab itu saya cadangkan kita bersatu supaya kita saling dapat meminjam pengalaman sekolah pemikiran yang lain dalam Islam. Pengalaman nahi mungkar ala salafi-Taliban telah terbukti gagal. Buat apalah tuan-tuan nak ikut. Pengalaman nahi mungkar ala Hezbullah nampaknya lebih berkesan, mengapa tidak kita pinjam?

Yang perlu kita bangunkan ialah hati yang ingin kepada agama. Kepada tauhid. Bila mereka sudah mengenal Tuhan dan wilayahnya maka dengan sendiri manusia itu berkeinginan kepada Islam.

Adalah lebih baik, dari PAS membuat demonstrasi seperti anjing menyalak bukit dengan mematuhi ayat al-Quran ini:

Ayat 159 surah Ali Imraan: Dan kalaulah kamu bersikap kasar lagi keras hati, maka pastilah mereka akan lari daripadamu. Oleh itu, maafkanlah mereka dan mintalah ampun untuk mereka, juga berbincanglah dengan mereka dalam sesuatu urusan.

Faham tak? Jangan cepat jump into the conclusion. Saya bertungkus-lumus bertahun-tahun mendekati golongan seni sehingga ikut terlibat dalam dunia teater dan segala bagai untuk mendekatkan mereka kepada agama. Tetapi cara nahi mungkar seperti mendapat lesen untuk membantai inilah yang telah menjadikan usaha saya gagal berkali-kali.

Untuk membangunkan agama dalam masyarakat bukan sahaja ada jalan syariah dan hukum, tetapi juga ada jalan falsafah dan dakwah.

Reti?

http://tehranifaisal.blogspot.com/


No comments: