4 lagi kes gadis lari ke Lombok
Oleh Safuri Kamarudin
bhnews@bharian.com.my
ABDUL Azeez mendengar luahan hati Abd Rahim di rumah mereka di Kampung Charok Bunting, Mukim Siong, Baling, Kedah. |
Pemuda Umno bantu bawa pulang
BALING: Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda Umno akan membantu empat lagi keluarga yang meminta bantuan badan itu membawa pulang anak gadis mereka yang dilarikan lelaki ke Lombok, Indonesia.
Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata mereka adalah daripada 17 kes seumpama itu yang dikesan Pejabat Kedutaan Malaysia di Indonesia, setakat ini.
"Sekretariat akan berusaha mendapatkan bantuan pelbagai pihak berkuasa, termasuk imigresen kedua-dua negara dan pihak kedutaan untuk membawa pulang gadis terbabit.
"Pada masa sama kita turut menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi anak mereka, terutama di kawasan yang didiami buruh asing warga Indonesia bagi mengelak kejadian warga asing membawa lari gadis tempatan," katanya ketika ditemui di sini, semalam selepas melawat keluarga seorang lagi wanita yang dilarikan lelaki Lombok.
Nur Liyana Abd Rahim, 18, dari Kampung Charok Bunting, Siong di sini dilarikan seorang lelaki warga Indonesia ke Lombok kira-kira dua tahun lalu dan dia dikatakan tidak tahan selepas terpaksa bekerja sebagai buruh di kebun sayur di Lombok Timur selepas berkahwin dengan kekasihnya.
Abdul Azeez berkata, jika Nur Liyana benar-benar mahu pulang ke pangkuan keluarganya di sini, sekretariat akan memberikan bantuan sewajar untuk membawanya pulang.
Ibunya, Saadiah Mustaffa, 44, berkata Nur Liyana yang juga anak keempatnya sudah melahirkan anak dan kerap mengadu mengenai penderitaannya serta menyesal mengikut lelaki terbabit apabila menelefon keluarganya di sini.
"Liyana merayu kami sekeluarga membantu membawanya pulang kerana sudah tidak tahan hidup di sana.
"Saya amat susah hati mengenangkan nasibnya yang sering menangis apabila mengadu mengenai kesusahan yang dilaluinya di Lombok," katanya.
Bapa Nur Liyana, Abd Rahim Ahmad, 49, mengucapkan terima kasih kepada Abdul Azeez yang berjanji akan membantu membawa pulang anaknya.
Abdul Rahim mendapatkan bantuan sekretariat itu selepas mendapat tahu kejayaannya membantu membawa pulang seorang gadis dari Perak, Noor Fadilah Ahmad, 18, yang turut dilarikan kekasihnya di Lombok, beberapa hari lalu.
sumber : Berita Harian
Memang kasih ibu tidak berubah dan sentiasa berterusan memaafkan kesalahan sebesar mana sekalipun ia di mata. Namun anak tidak pernah ingat untuk memikirkan segala pengorbanan Ibu dan juga Bapa. Ramai memilih jalan 'nafsu' dari jalan 'bahagia' kerana terkena ilmu ' guna guna' dan janji manis cinta, hingga berubah dari taat kepada derhaka kepada kedua ibu bapa..
Tersentuh mendengar lagu air mata Ibu oleh Siti Nurhaliza membayangkan perasaaan ibu terhadap anak. Membenarkan arahan Nabi agar ditaati ibu kerana syurga berada di bawah tapak kakinya..
Perkara mengingatkan jasa jasa ibu perlu dibuat semua pihak dan iklan mengeratkan kasih sayang sesama keluarga perlu diusahakan lebih banyak dan kerap lagi di media massa dan eletronik juga internet untuk mengelakkan kejadian kejadian anak perempuan dilarikan ke Lombok atau mana mana tempat di dunia ini.
Duhai ibu
No comments:
Post a Comment