Monday, October 13, 2008

Ranapnya Gergasi Ekonomi angkara Riba - saat kejatuhan Dajal Amerika

Amalan mengaut faedah tanpa risiko nyata cetus ketidaktentuan sistem kewangan global

AYAT 279 surah al-Baqarah menegaskan maksudnya: “Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan Rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat).”

Bukti kebenaran wujud peperangan Allah dan Rasul-Nya terhadap pengamal riba dalam minggu ini adalah kehancuran Lehman Brothers dan Federal Housing Authority sebagai dua gergasi pengamal riba dunia berasal dari Amerika Syarikat (AS). Dan dalam hitungan hari selepas itu, Selasa lalu, satu lagi gergasi kewangan dalam sektor insurans yang beroperasi di 130 negara dan mempunyai 116,000 pekerja tidak termasuk pekerja separuh masa, American International Group Inc (AIG) sedang berada dalam proses untuk tumbang dan tinggal nama.

Bagaimanapun, ada ‘tangan-tangan’ yang berusaha untuk menyelamatkan AIG kerana ia dikatakan mempunyai keutamaan global sehingga ‘pertolongan sesat’ yang mulanya akan diberikan sejumlah AS$85 bilion oleh US Federal Reserve (Fed) sudah menjadi AS$500 bilion gabungan ta’awun ‘ala al-itsm wa al-’udwan (bertolong-tolongan dalam berbuat dosa dan pencerobohan) bank-bank pusat Eropah, Britain, Jepun, Switzerland dan Kanada di samping Fed sendiri yang menambahkan jaminannya menjadi AS$265 bilion..

Jumlah wang yang begitu banyak yakni AS$500 bilion itu diperuntukkan untuk menyelamatkan satu sistem yang dimusuhi Allah yang mana jika ia diperuntukkan untuk kesejahteraan sebenar manusia sejagat sudah pasti akan lebih menguntungkan kepentingan kemanusiaan daripada kepentingan segelintir pengamal riba.

Penulis tertarik dengan komen yang dibuat oleh seorang profesor di Universiti New York, Nouriel Roubini terhadap ‘double standard’ kerajaan Amerika ke atas krisis Lehman Brothers dan AIG. Professor di Stern School of Business itu berkata, seperti dipetik Reuters, Khamis lalu: “�We’re essentially continuing a system were profits are privatized and � losses socialized.”

Sistem ekonomi kapitalis sebagaimana disifatkan Roubini ini adalah sistem orang kufur nikmat yang dianugerahkan Allah Ta’ala. Orang kufur nikmat yang tamak dan kemaruk harta dunia. Mari kita perhatikan firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya manusia itu dijadikan mempunyai tabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut); apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah; dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut.” (Surah al-Ma’arij: 19-21)

Firman Allah ini dijelaskan lagi dengan satu contoh dalam ayat yang lain maksudnya: “Dalam pada itu, apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan doa yang tulus ikhlas kepada-Nya. Kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka berlaku syirik kepada-Nya. (Akibat syirik itu) jadilah mereka orang yang kufur nikmat yang Kami berikan kepadanya, dan (menjadi) orang yang hanya bersuka ria di dunia; kemudian mereka akan mengetahui kelak akibat buruk apa yang mereka lakukan.” (Surah al-’Ankabut: 65-66)

Inilah yang berlaku dalam krisis AIG hari ini. Ketika mereka dalam keadaan memperoleh keuntungan sejak penubuhannya pada 1919 di China, mereka senyap dan berfoya-foya dengannya tanpa menghiraukan kepentingan orang lain. Tapi, ketika berlaku krisis yang berpunca daripada amalan riba yang diperangi Allah, mereka berteriak minta tolong sehingga seluruh dunia terkena kesannya termasuk mungkin insurans kereta anda dengan American International Assurance (AIA).

Pengalaman masyarakat antarabangsa moden membuktikan keburukan amalan riba sejak terjadinya krisis ekonomi 1929. Tapi mereka tidak serik-serik lagi kerana tujuan yang dicanangkan mereka belum wujud lagi. Tujuan yang akan membuat semua manusia menjadi hamba kepada segelintir manusia pimpinan Yahudi zionis seperti digariskan dalam protokol zionis dan pernah dikisahkan Shakespear dalam Merchant of Venice menerusi tokoh pengamal riba berbangsa Yahudi, Shelok.

Seorang pakar ilmu ekonomi, Prof G Haberler dari Universiti Harvard di AS menulis di dalam bukunya Kemakmuran dan Kemelesetan bahawa tiada suatu masalah yang menimbulkan perbezaan pendapat di kalangan pakar ekonomi selain masalah yang berkaitan dengan nilai wang faedah atau faedah bank. Masalah ini masih suatu persoalan yang belum mencapai sebarang penyelesaian sehingga sekarang, dan ketika berlakunya kemelesetan terbesar di seluruh dunia kapitalis pada 1929, maka sistem perekonomian kapitalis hampir tumbang untuk selama-lamanya akibat merebaknya wabak pengangguran.

Pelopor dan pemimpin pakar ekonomi moden, Lord J M Keynes mengkritik sistem ekonomi klasik dan mengisytiharkan sikap bertaubatnya ke atas sistem itu, sambil melancarkan serangan yang tidak mengenal ampun terhadap faedah bank. Pandangan ini diikuti oleh muridnya, Sir Roy Harrod yang menerbitkan sebuah buku bertajuk Ke Arah Suatu Sistem Ekonomi Yang Bergerak Dinamik. Dalam buku ini, Harrod bukan saja membela pandangan Keynes, malah menokok tambah lagi dengan jelas dan terang dan beliau menyatakan bahawa sistem ekonomi bebas itu tidak boleh kekal dan tahan lama selagi masih wujud suatu puak tuan punya modal yang terus menjalankan kegiatan memberi pinjaman wang melalui bank-bank di samping mengaut pendapatan yang dinamakan ‘faedah’ tanpa menghadapi sebarang risiko atau menjalankan suatu usaha dan pekerjaan yang membawa kebajikan. Puak itu menjadi beban yang terpaksa dipikul oleh penerima pinjaman yang terpaksa bekerja bertungkus-lumus menghadapi pelbagai bentuk risiko.

Oleh itu, Harrod berpendapat bahawa masyarakat perlu segera diselamatkan daripada pelbagai bentuk ancaman kejahatan yang ditimbulkan oleh puak minoriti ini dengan cara melakukan suatu usaha berkesan yang akhirnya melakukan larangan dan pengharaman kadar faedah. Dan pada ketika itu semua pemilik wang terpaksa melaburkan wang mereka melalui pelbagai cara yang produktif yang memberi faedah kepada masyarakat. (Rujuk al-Jammal, Ensklopedia Ekonomi Islam, ii/432-3) Al-Quran al-Karim begitu tegas dan lantang sekali menyatakan hukum haramnya riba. Ia yang diturunkan lebih 1,400 tahun yang lalu sudah mengisytiharkan perang terhadap pengamal riba dan pada hari ini masyarakat antarabangsa dilanda wabaknya seperti diberitakan dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW maksudnya: “Akan tiba suatu zaman, tidak ada seorang juga pun kecuali ia terbabit dalam memakan harta riba. Kalau ia tidak memakan secara langsung, dia akan terkena juga debu-debunya.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Maka pada akhirnya, tidak ada jalan penyelesaian agar kita terselamat daripada bencana perang terhadap riba yang diisytiharkan al-Quran di atas selain sambungan ayat pada permulaan tulisan ini iaitu maksudnya: “Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.” Dengan perkataan lain, sempena Nuzul al-Quran 1429 H ini mari kita hapuskan riba! Wallahu a’lam.

Oleh Abdurrahman Haqqi
Sumber: http://www.bharian.com.my

No comments: