Tuesday, October 21, 2008

Pak Lah tidak harus dipersalahkan sepenuhnya atas kerosakan UMNO - Dr Rosli

Sunday, April 27, 2008

Tun Mahathir yang Rosakkan UMNO

Tidak adil untuk menyalahkan Abdullah Badawi seorang saja di atas kekalahan teruk UMNO-BN dalam PRU12 semata-mata kerana beliau adalah Perdana Menteri semasa.

Dalam nada yang sama, tidak adil juga untuk membebaskan Tun Mahathir dari sebarang pertangungjawaban di atas bencana yang menimpa semata-mata kerana beliau bukan lagi Perdana Menteri semasa.

Dengan slogan “dahulu, kini dan selama-lamanya,” UMNO menjadi angkut dan dan terlebih yakin bahawa dengan rekod pembangunan yang “cemerlang,” tidak mungkin kuasa akan hilang dari tangan.

UMNO bersama-sama rakannya dalam BN telah memerintah selama setengah abad. Pemerintahan bermula dengan baik tetapi kerana merasakan kuasa yang ada di tangan tidak mungkin tergugat, sedikit demi sedikit ketidakbaikan dilakukan .sehingga akhirnya rakyat merasa bahawa ketidakadilan dan kezaliman diperlakukan ke atas mereka sudah sampai ke tahap tidak boleh diterima lagi.

Pemerintah diperingatkan berulang kali supaya berhenti dari melakukan mungkar dan kembalikan keadilan, namun segala peringatan tidak dihiraukan. Di zaman Tun Mahathir perlakuan mungkar sampai ke kemuncaknya. Amalan korupsi, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan sumber, pembaziran, penipuan, penganiayaan dan perbuatan fitnah-memfinah merebak. Gejala jenayah dan keruntuhan akhlak mewabak. Inilah harga yang terpaksa dibayar oleh rakyat Malaysia untuk membeli pembangunan.

Bila tiba zaman Abdullah, UMNO dan kerajaan sudah berada di dalam keadaan “retak menunggu belah.” Abdullah Badawi menakhodai kapal yang sedang karam. Lebih malang, beliau bukan seorang nakhoda yang pintar.

UMNO yang diwarisi Abdullah nampak cantik diluar, di dalamnya berualat. Tun Mahathirlah yang meletakkan batu asas kerosakan UMNO dan parti-aprti lain dalam BN.

Beliau adalah seorang yang cukup pintar bermain “buang batu suruk tangan.” Selama lebih dua dekad Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, terlalu banyak kerja mungkar yang dilakukan. Beliau enggan mengambil tanggungjawab di atas kemungkaran yang telah berlaku sebaliknya, meletakkannya ke atas kepala orang lain. Kata-kata seperti “saya tak suruh…, itu bukan keputusan saya…, itu mereka yang putuskan…, saya tidak ada di Malaysia ketika itu…, itu salah mereka bukan salah saya…” dan seumpamanya terlalu banyak dilafazkan untuk menggambarkan kepada umum bahawa seolah-olahnya, beliau seorang yang bersih dan yang melakukan mungkar itu semuanya orang lain.

Kemungkaran yang berlaku dalam tempoh dua dekad pemerintahan beliau terlalu panjang untuk di senaraikan. Cukuplah didedahkan beberapa contoh khasnya yang berkaitan dengan UMNO, “just to bring the point home.”

Pertama, tentang “buaya dan jerung” di dalam UMNO yang dibangkitkan oleh YM Tengku Razaliegh Hamzah, Ahli Parlimen Gua Musang baru-baru ini, wajar ditanya Tun Mahathir: Siapakah yang membiakkannya kalau bukan beliau? Oleh kerana beliau adalah Presiden UMNO, maka beliau adalah ketua kepada buaya dan jerung yang berkeliaran di dalam UMNO. Sekarang, Dato’ Sri Abdullah Ahmad Badawilah yang menjadi ketua buaya dan jerung ini.

YM Tengku Razaliegh menggelarkam mereka buaya dan jerung mungkin kerana pertama, mereka ganas, kedua, tidak kira bangkai atau bukan-bangkai, semua mereka sapu, ketiga, mereka tidak kira halal atau haram, semuanya meraka telan dan yang keempat, mereka ini makan besar.

Kedua, pada tahun 1987, Tun Mahathir memperkenalkan “undi hantu” dalam pemilihan UMNO. Ada tuduhan bahawa beliau menang menjadi Presiden UMNO mengalahkan YM Tengku Razaliegh Hamzah kerana undi hantu. UMNO diharamkan oleh mahkamah kerana kehadiran perwakilan yang tidak sah di dalam perhimpunan agung UMNO. Sesetengah dari orang yang bersekongkol dengan Tun Mahathir dalam membuat kerja mungkar ini masih menjadi orang setia beliau hingga kini. Sesetengahanynya pula telah meninggalkan beliau. Ada yang bertukar menjadi seteru beliau.

Ketiga, kerana gara-gara penipuan dalam UMNO, beliau juga merosakkan sistem kehakiman negara. Berikutan dengan keputusan mahkamah mengharamkan UMNO, Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas dan dua orang hakim mahkamah tinggi dipecat dan tiga lagi digantung. Sistem kehakiman diperkosa. Sejak dari peristiwa inilah sistem kehakiman negara menjadi rosak dan tempoh dua dekad berikutnya menyaksikan sistem kehakiman terus diperkosa dan rosaknya semakin parah.

Tun Mahathir berkata bukan beliau yang memecatkan mereka. Kenyataan seperti ini memperbodohkan rakyat. Salah sangka besar kalau Tun Mahathir beranggapan bahawa beliau boleh terus memperbodohkan rakyat. Sebab itulah dalam PRU12 ramai rakyat mengucapkan selamat tinggal kepada UMNO-BN.

Kerajaan telah mengaku bersalah pada 17 April 2008 dalam hal pemecatan dan penggantungan hakim-hakim berkenaan, namum Tun Mahathir tetap keras hati tidak mahu memohon maaf kepada hakim-hakim yang telah beliau aniaya. Kalau dicadangkan agar hakim-hakim terbabit bertindak menyaman kerajaan dan Tun Mahathir bagi menebus malu, dirasakan majoriti rakyat akan menyokong.

Keempat, siapakah yang memperkenalkan politk wang dalam UMNO kalau bukan Tun Mahathir? Jawatan di dalam UMNO boleh dijual beli dan pembida tertinggi menang. Sesiapa yang berminat untuk berada di pucuk pimpinan, mereka harus mempunyai banyak wang. Mana hendak ambil wang? Maka bermulalah era amalan rasuah di kalangan pemimpin. UMNO.

Pemimpin UMNO pergi jumpa taukeh sana dan taukeh sini untuk mendapatkan wang dengan janji akan mengurniakan projek kepada taukeh-taukeh yang sanggup memberi “wang pendahulaun” kepada pemimpin UMNO yang mahu bertanding untuk merebut jawatan dalam parti. Memanglah mereka mendapat wang berjuta-juta malah beratus juta tetapi projek-projek yang bernilai ratusan juta malahan bilion ringgit jatuh ke tangan segelintir taukeh-taukeh. Siapa yang mengkayakan sekelompok taukeh-taukeh – tidak kiralah Cina, Melayu India atau orang asing – kalau tidak pemimpin UMNO?

Badan-badan yang ditubuhkan untuk mempertingkatkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi dan perdagangan sebahagian besarnya menjadi tonggangan pemimpin UMNO untuk menjana wang yang kemudiannya digunakan untuk membeli jawatan dalam UMNO dan dalam kerajaan. Tanah kerajaan dijual kepada syarikat Bumiputera tetapi tanah yang sama akhirnya dijual kepada mana-mana taukeh yang sanggup memberi rasuah pada harga yang lebih tinggi dan habuan digunakan oleh pemimpin UMNO untuk membeli jawatan.

Tidak ada syarikat “milik Bumiputera” yang ditubuhkan kecuali syarikat itu mesti menyalurkan wang kepada UMNO dan pemimpin UMNO. Akibat dari krisis kewangan 1997-98 dahulu, banyak syarikat ini yang telah lingkup. Banyak pula yang dipulihkan dengan menggunakan wang rakyat dan syarikat-syarikat ini sekarang digelar “Government-linked companies.” GLCs ini terus menjadi tonggangan UMNO. Sebab itulah Dasar Ekonomi Baru gagal.

Cukuplah sekadar ini. Kalau hendak didedahkan semua kemungkaran, ia akan menjadi buku yang cukup tebal. Tindakan yang terbaik yang wajar diambil oleh Abdullah Badawi ialah “tutup mulut “ Tun Mahathir kalau pendarahan UMNO mahu dihentikan. Sejak kebelakangan ini tindak-tanduk beliau banyak memalu malah merugikan UMNO. Beliau mungkin sudah jatuh ke dalam golongan yang menderhaka kepada UMNO dan kalau memang benarlah perkara ini, maka, mengikut piawaian Almarhum Tunku Abdul Rahman, wajar bagi UMNO memecat beliau.

Dhaka, Bangladesh
19 April 2008


http://drrosliyaakop.blogspot.com/

3 comments:

OTAI (Otak Tenang Akal Inovatif) said...

sejarah dah berlalu... tun cakap manusia yang tak belajar dari sejarah akan ditipu berulang kali....siapa yang cipta sejarah 22 tahun jadi pm? pak lah baru berapa tahun?
pak lah jadi tpm yang terbaik sokong tun... tun patut jadi penyokong pak lah yang terbaik pulak... tapi bila dah berbalah... payah lah

Panglima Perang Cyber said...

betul... ada 'beruk' di bawah goyangkan pokok 'di atas'...

kena usir beruk baru kita tak dikacau lagi.

Anonymous said...

sebagai negarawan Tun perlu tunjuk contoh kepada anak cucu.

tapi terbalik sekarang.

mungkin sebab KJ jadi menantu pak lah ke ?

takkan Tun ambik hati budak kecik tu.

harap Tun dapat baik baiklah dengan Pak Lah.

jangan diingat lagi perselisihan sebelum ini.

Kita Pak Lah dah lama sabar dan minta Tun sabarlah pula.

Sabar dari membuat kenyataan mengeruhkan lagi sosial ekonomi dan politik negara kita.

salam dari tokwan.