Sunday, September 14, 2008
Wakil PKR lewat pulang, bukan bimbang ISA
14-09-2008 05:38:27 PM
Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB
PETALING JAYA: Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua berkata, beliau dan empat anggota PKR tidak dapat pulang ke Malaysia hari ini seperti yang dijadualkan kerana keadaan cuaca yang buruk di Taiwan, dan tiada kena-mengena dengan kebimbangan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
“Tidak ada kaitan dengan ISA. Risau tu memanglah risau tapi kita pasrah...terserah kepada Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Syed Hamid Albar).
“Hari ini ada taufan di sini...sebab itu kita tidak dapat pulang,” katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.
Katanya, semua penerbangan ke luar negara pada hari ini dibatalkan dan penerbangan mereka menerusi pesawat China Airline hanya akan berangkat pada pukul 1 tengah esok.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh turut menegaskan kelewatan rombongan mereka pulang ke tanah air ada kena-mengena dengan ISA.
“Tiadalah (kaitan). Saya sepatutnya sudah berangkat malam semalam kerana perlu hadir Mesyuarat Agung Bahagian (PKR) di Kuantan pagi ini tetapi disebabkan taufan Sinlaku yang melanda, saya tidak dapat balik,” katanya.
Beliau menyifatkan kunjungan mereka untuk ‘memburu’ Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) supaya melompat parti sebagai sangat berjaya namun tetap enggan mendedahkan jumlah dan identiti mereka yang sudah bersetuju menyertai PKR.
“Kerja sudah siap. Tunggulah sehari dua lagi... kemungkinan akan diumumkan oleh Datuk Seri Anwar (Ibrahim),” katanya.
sumber-Mstar.online
No comments:
Post a Comment